Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Zulkepli Osman
MARAN: Kerajaan Pahang bercadang untuk menambah nilai menerusi projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) dengan menyediakan kelengkapan asas sebaik sahaja menyerahkan kunci kepada pemilik rumah yang terpilih, pada masa depan.
Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail berkata, idea itu timbul selepas melihat kebanyakan penerima RRP masih tidak mampu menyediakan pelbagai barangan asas selepas mendapat rumah.
“Baru ni kita tengok (rumah penerima) dapur tak ada, peti ais tak ada, kita fikir pula sebaik rumah terbabit kita serah kunci, kita akan bagi lagi barangan tambahan untuk keperluan mereka yang dapat rumah (RRP).
“Selain itu tuan-tuan, kita fikir lagi… nak ‘repair’ (baiki) rumah untuk mereka yang memerlukan. Ini pun saya akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Muafakat Nasional (MN) Maran di sini, malam tadi.
Maran muncul bahagian pertama melancarkan jentera pilihan raya MN di Pahang dan dijangka kawasan lain akan turut berbuat demikian dalam masa terdekat.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus dan barisan kepemimpinan BN serta PAS Pahang.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pelbagai manfaat dan program terbabit mampu dilaksanakan berikutan Kerajaan Pahang mempunyai kedudukan kewangan memberangsangkan, selain wujudnya kestabilan politik di negeri ini.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Pahang, kita ada lebihan sebanyak RM168 juta dan kita bawa ke hadapan. Apa yang kita dapat, kita bagi semula kepada rakyat.
“Sebab apa ini boleh berlaku ialah kerana di Pahang ini, kita boleh beri tumpuan, tidak ada masalah politik. Katalah kita bercelaru, ada masalah politik, lepas mesyuarat EXCO, saya dan rakan-rakan selalu nak balik kawasan, sebab banyak masalah. Tapi sebab tak ada masalah politik, sebagai contohnya kita boleh buat RRP,” katanya.