Tambah kemahiran, tambah pendapatan

Tambah kemahiran, tambah pendapatan

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran golongan nelayan bagi memberi peluang kepada mereka menambah sumber pendapatan.

Pengarahnya Abdullah Jaafar, berkata antara kemahiran itu ialah menghasilkan produk makanan berasaskan ikan dan ia tidak hanya diajar kepada nelayan, malah keluarga mereka.

Katanya, peluang latihan turut dibuka kepada masyarakat setempat dengan harapan mereka terbabit dalam bidang perniagaan seterusnya dapat menambah pendapatan keluarga masing-masing.

Di samping itu, beliau berkata, bagi memastikan nelayan memiliki kemahiran membaiki enjin bot, kursus penyelenggaran enjin sangkut turut disediakan dengan harapan nelayan tidak terlalu bergantung kepada bengkel setiap kali enjin bot mereka rosak.

“Kemahiran membaiki enjin sangkut amat penting bagi nelayan pantai terutama apabila enjin rosak ketika berada di laut.

“Malah, mereka yang memiliki kemahiran itu juga  boleh menyediakan  perkhidmatan membaiki enjin bot dengan upah berpatutan,” katanya pada majlis penutup program peningkatan kemahiran pemprosesan produk perikanan (keropok lekor dan satar) serta penyelenggaran enjin sangkut di pangkalan nelayan Pantai Sepat, di sini, semalam.

Program sehari itu disertai 60 peserta terdiri daripada nelayan dan ahli keluarga masing-masing serta masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pada program kali ini, seramai 55 nelayan menerima bantuan bakul makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Prihatin, antaranya seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan biskut.

“Bantuan Mafi prihatin diberikan oleh kerajaan kepada nelayan bagi meringankan beban mereka yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.