Tambahan 780.94 hektar dijadikan Hutan Tadahan Air

Tambahan 780.94 hektar dijadikan Hutan Tadahan Air

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju mewartakan tambahan 780.94 hektar hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Berkelah di Maran dan HSK Lepar di sini untuk dijadikan Hutan Tadahan Air.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penambahan itu menjadikan keseluruhan Hutan Tadahan Air di negeri ini seluas 343,503.35 hektar. 

Beliau berkata, pewartaan itu bermakna tiada sebarang aktiviti pengusaha hasilan boleh dilakukan di dalam kawasan yang disifatkan sebagai sensitif alam sekitar berkenaan. 

“Keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi Rabu, 29 September lalu, membabitkan 443.73 hektar dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Berkelah di Maran, dan 337.21 hektar dalam HSK Lepar, di Kuantan. 

“Bagi HSK Berkelah, 443.73 hektar ini merupakan tambahan kepada 2,134 hektar Hutan Tadahan Air sedia ada, menjadikan keseluruhan 2,577.73 hektar Hutan Tadahan Air dalam HSK ini. 

“Untuk HSK Lepar pula, ini pertama kali kawasan Hutan Tadahan Air seluas 337.21 hektar bakal diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Menurutnya, secara amnya, kedua-dua HSK Berkelah dan Lepar berkeluasan 62,749.45 hektar iaitu HSK Berkelah seluas 40,502.05 hektar dan HSK Lepar seluas 22,247 hektar.

“Keluasan HSK di seluruh Pahang pula ialah 1.59 juta hektar. Adalah diharapkan dengan penambahan kawasan diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air ini, akan dapat terus memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar negeri ini, Insya-Allah,” katanya.