Tambang feri ke Tioman RM20 sehala

Tambang feri ke Tioman RM20 sehala

ROMPIN: Kerajaan Pahang bersetuju mengurangkan kadar tambang feri di antara Pulau Tioman dan tanah besar untuk penduduk pulau itu kepada RM20 sehala berbanding kadar semasa RM50, bermula Januari 2023.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengurangan 60 peratus itu bakal ditanggung kerajaan negeri membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM500,000 dan akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 3,600 penduduk Tioman.

“Apabila mereka (penduduk Tioman) berjumpa saya, ramai yang mengatakan tambang ke tanah besar mahal, jadi saya tanya berapa (jumlah tambang) yang mereka mampu dan rata-rata mengatakan RM20,” katanya sambil menambah perkara itu telah dibincangkan bersama Pegawai Kewangan Negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program santai petang bersama penduduk Kampung Jawa, di sini, pada 4 Disember.

Kadar tambang baharu itu, menurut Wan Rosdy hanya membabitkan laluan masuk ke Pulau Tioman menggunakan Jeti Teluk Gading (dahulunya Tanjung Gemok), manakala harga tambang bagi penumpang dewasa bukan penduduk Pulau Tioman dan pelancong kekal RM60 sehala.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan meluluskan pembinaan klinik dengan kemudahan wad bersalin, khidmat pergigian dan doktor pakar di pulau itu bagi memudahkan penduduknya mendapatkan rawatan.

“Ini bakal memudahkan (urusan) penduduk Pulau Tioman terutamanya ibu yang bakal bersalin tidak perlu pergi ke tanah besar, ia satu kemudahan dan perkara ini mudah diperoleh kerana kerajaan Pusat dan negeri adalah selari,” katanya. – BERNAMA