Tanam 1,000 pokok di Hutan Simpan Lentang

Tanam 1,000 pokok di Hutan Simpan Lentang

BENTONG: Sebanyak 1,000 pokok balak berkualiti tinggi ditanam di Hutan Simpan Lentang sempena Kempen Penanaman 100 juta Pokok peringkat daerah ini, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong itu disertai 50 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, Karak serta Temerloh.

Penolong Pegawai Hutan Daerah Bentong, Hasnudin Mat Ail, berkata program gotong-royong itu turut disertai kakitangan PHD Bentong yang turut terbabit menyediakan kawasan tapak tanaman di Kompatmen 13 Hutan Simpan Lentang.

Menurutnya, lokasi tanaman adalah kawasan lapang tapak Projek Bekalan Air Pahang Selangor yang perlu dipulihkan supaya menjadi kawasan hijau suatu hari nanti.

“Antara pokok ditanam ialah daripada spesies Merbau, Meranti Tembaga dan Merawan Siput Jantan. Maklumat penanaman pokok  dimasukkan dalam Aplikasi Penghijauan Malaysia bagi daerah Bentong.

“Kita akan terus memantau pokok yang ditanam dalam memastikan program pemulihan itu mencapai kejayaan diharapkan,” katanya.

Hasnudin berkata, pihaknya berterima kasih dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancakkan lagi program pemulihan hutan di daerah ini. – MOHD IMRAN IZZAD.