KUANTAN: Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK), semalam, membuat keputusan menangguhkan pemindahan tapak
Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Bukit Sekilau, di sini, ke Serambi Teruntum.
Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata keputusan itu diharap melegakan 169 peniaga Pasar Tani UTC yang berniaga hampir sembilan tahun selepas berpindah dari tapak Stadium Darul Makmur.
“Perkara ini dimaklumkan pada MMK dan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas sifat pemimpin yang mengutamakan rakyat membuat keputusan segera minta Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menangguhkan perpindahan untuk semakan terperinci oleh MBK,” katanya.
Berdasarkan surat bertarikh 14 Jun lalu, MBK bercadang untuk memindahkan tapak Pasar Tani UTC di bandar raya Kuantan ke Serambi Teruntum pada 19 Jun ini.
Cadangan pemindahan itu disebabkan isu kesesakan Jalan Bukit Sekilau bersebelahan tapak Pasar Tani UTC.
Berikutan itu, peniaga Pasar Tani UTC membuat bantahan pemindahan itu kepada Timbalan Menteri Kewangan 1 juga ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan atas keperihatinan beliau telah memaklumkan kepada kerajaan negeri.
Susulan penangguhan itu, beliau meminta pengunjung Pasar Tani UTC tidak meletakkan kenderaan atas Jalan Sekilau bersebelahan tapak pasar tani selepas lampu isyarat persimpangan Jalan Tun Ismail ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Kawasan letak kereta di Stadium Darul Makmur masih boleh digunakan sebagai pilihan untuk ke Pasar Tani UTC,” katanya. -MUHAMMAD IZZ ZAHIN