Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@fikrahpahang.gmail.com
BERA: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan pada Isnin, 2 Ogos, perlu ditangguhkan berikutan ramai individu di bangunan Parlimen dijangkiti Covid-19 dan tiada alasan lain.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata penangguhan dibuat berikutan terdapat 70 individu di kalangan Ahli Parlimen, pengiring mereka dan kakitangan parlimen dijangkiti Covid-19, sepanjang empat hari persidangan berlangsung.
Berikutan itu, katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Norhisham Abdullah, menasihati kerajaan agar menangguhkan sementara persidangan.
“Di tempat lain jika Covid-19 mengangkau 40 kes atau lebih, kawasan itu akan dikenakan perintah kawalan pergerakan di perketatkan (PKPD). Apatah lagi, jumlah dijangkiti udah 70 orang.
“Sebenarnya ia bukanlah bermotifkan politik seperti yang diandaikan. Ia berdasarkan sains dan fakta,” kata Ismail Sabri selepas menyerahkan bakul makanan kepada penduduk Kampung Charuk Puting, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, penangguhan perlu dilakukan kerana bimbang jumlah yang dijangkiti meningkat.
Pada 31 Julai lalu, satu notis dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, memaklumkan bahawa Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat diberitahu oleh Perdana Menteri mengenai penangguhan itu selaras peraturan mesyuarat 11 (3) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.