KUANTAN: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh, sudah menangkap dan memindahkan 73 gajah liar di enam negeri sehingga semalam.
Kelantan mencatat jumlah terbanyak tangkapan iaitu 25 gajah diikuti Pahang (18), Johor (10), Kedah (8), Perak (6) dan Terengganu (6).
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, tangkapan gajah liar tahun ini bertambah hampir sekali ganda tahun ini.
Menurutnya, peningkatan ketara berlaku di dua negeri iaitu Kelantan daripada 16 gajah tahun lalu kepada 25 manakala Pahang pula 18 gajah berbanding tiga, tahun lalu.
“Kebanyakan kes haiwan itu keluar hutan untuk mencari makan, tersesat dan masuk kampung,” katanya.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya menerima aduan ancaman gajah liar hampir setiap bulan, namun tidak semua aduan berakhir dengan operasi mengesan dan tangkapan.
“Terdapat kes kita hanya bertindak menghalau haiwan supaya masuk ke hutan seterusnya membuat pemantauan beberapa hari di kawasan terbabit.
“Operasi menangkap dan memindahkan gajah liar dilakukan terutama apabila haiwan terbabit mengancam manusia dan memusnahkan tanaman,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD