Tanjung Putus TKPM ke-19 di Pahang

Tanjung Putus TKPM ke-19 di Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Sembilan puluh hektar tanah di Tanjung Putus, Mukim Kuala Kuantan, di sini, diluluskan Kerajaan Pahang bagi membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata TKPM itu adalah yang ke-19 di Pahang dan tambahan itu menjadikan keluasan tanah dikhususkan untuk TKPM di negeri ini kira-kira 5,282.85 hektar atau bersamaan 6,860 padang bola sepak.

“Ia Pahang sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di Malaysia. Tanah di Tanjung Putus yang diluluskan itu membabitkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang turut diluluskan untuk ditanam sayur-sayuran dan tanaman kontan.

“Peserta yang akan dipilih kelak antaranya ialah dalam kalangan belia antara 18 tahun dan 40 tahun sama ada lepasan sijil, diploma mahupun ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian.

“Begitu juga dalam kalangan rakyat kategori B40, dalam lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, peserta akan diberi keluasan minimum 0.4 hektar sehingga maksimum satu hektar seorang di bawah Fasa 1. 

“Keluasan tapak bagi Fasa 2 pula akan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri.

“Diharapkan dengan kelulusan TKPM, termasuk di Tanjung Putus akan dapat meningkatkan pengeluaran makanan di Pahang dan Malaysia sambil membantu menambah hasil pendapatan peserta dalam kalangan rakyat memerlukan,” katanya.

Program TKPM dicadangkan sebagai satu strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi oleh usahawan di samping sektor swasta.