KUANTAN: Minat melayari media sosial digunakan sebaiknya Nurul Najihah Sofea Umar, 26, yang ‘berguru’ dengan YouTube untuk memahami lebih jelas subjek yang dipelajari di kelas ketika masih menuntut di Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) sejak 2017 sehingga 2019 lalu.
Ternyata usahanya itu berbaloi apabila bekas penuntut Diploma Kemahiran Pembangunan Kandungan Kreatif itu sering memperoleh keputusan cemerlang sepanjang pengajiannya sehingga melayakkannya terpilih menerima Anugerah Khas Yayasan Pahang di Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) kali ke-11 di Dewan Utama Pahang Skills di sini, hari ini.
“Rahsia saya ialah jadi lebih kreatif, contohnya apa yang saya buat, sebelum masuk kelas saya akan rujuk dulu di YouTube subjek yang akan dipelajari di kelas.
“Saya juga banyak bertanya kepada pansyarah… selagi tak faham, selagi itulah saya tanya soalan sehingga ada pensyarah berseloroh ‘pening’ dengan sikap saya itu,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Anak jati Kampung Belimbing, Maran itu berkata, dia bercadang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
“Memang ada ‘plan’ (perancangan) nak sambung ‘degree’ (ijazah sarjana muda) tapi buat masa ini saya tumpukan dulu kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej di Banting, Selangor,” kata anak keenam daripada lapan beradik itu.
Bagi Muhamad Faaiz Mohd Sabri, 26, dari Temerloh, yang menerima Anugerah YAB Menteri Besar, restu dan doa kedua orang tuanya diyakininya menjadi ‘tonik’ sehingga mampu cemerlang dalam pembelajaran sepanjang menuntut di Pahang Skills.
“Sebagai orang Islam, tentulah saya juga saban hari berdoa dan mengajar diri untuk sentiasa menghantar awal setiap tugasan diberikan pensyarah,” katanya.
Seramai 351 graduan Pahang Skills menerima diploma dan sijil masing-masing yang disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Konvokesyen Pahang Skills ke-11 yang diadakan di Dewan Utama Pahang Skills, hari ini.
Hadir sama, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Pahang Skills, Dato’ Mas’ut Awang Samah. – HELMY ABD RAHMAN