Tapak menara telekomunikasi penting, terutama di musim tengkujuh

Tapak menara telekomunikasi penting, terutama di musim tengkujuh

KUANTAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta syarikat telekomunikasi membina pelantar yang lebih tinggi untuk mendirikan menara komunikasi supaya suis utama peralatan elektronik tidak ditenggelami banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata 18 daripada 571 menara telekomunikasi di Pahang rosak kerana banjir, Disember lalu. 

“Oleh itu, SKMM meminta syarikat telekomunikasi segera membina pelantar melebihi lima meter untuk menempatkan peralatan elektronik dan kotak suis utama menara.

“Apabila peralatan elektronik menara tidak ditenggelami banjir, sistem telekomunikasi juga tidak akan terputus,” katanya.

Beliau berkata, sistem telekomunikasi di kawasan yang dilanda banjir perlu konsisten agar penduduk terperangkap banjir dapat terus berhubung bagi mendapatkan bantuan.

“Semua usaha ini sedang dilaksanakan dan syarikat telekomunikasi memberi jaminan akan membina pelantar lebih tinggi untuk semua 18 menara terbabit yang dijangka siap selewat-lewatnya pada Oktober depan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN