Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Ihsan Perhilitan
KUANTAN: Seekor tapir jantan seberat 220 kilogram (kg) mati dilanggar kereta milik pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang di Kilometer 200
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala ke Kuantan, malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, dalam kemalangan kira-kira 8.50 malam itu, haiwan berumur 10 tahun terbabit dipercayai cuba melintas jalan.
Menurutnya, bahagian kiri dan kanan LPT itu merupakan kawasan Hutan Simpan Berkelah dan kejadian kemungkinan berlaku apabila Tapir jantan itu melalui tepi Sungai Berkelah sebelum masuk ke LPT seterusnya melintas jalan menyebabkan berlaku kemalangan.
“Pegawai Perhilitan Maran segera ke tempat kejadian untuk menyiasat kejadian yang berlaku dan bangkai haiwan terbabit dibawa ke kawasan tol Sri Jaya.
“Kemalangan berlaku membabitkan kenderaan yang membawa Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman. Pemandu dan penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rozidan berkata, tahun lalu sebanyak lima ekor tapir mati dilanggar kenderaan dan dalam tempoh lima bulan tahun ini, sebanyak tiga ekor tapir mati
di negeri ini.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan Perhilitan Pahang dalam mengelakkan kematian tapir di atas jalan negeri dan persekutuan, antaranya menambah jumlah papan tanda peringatan kawasan haiwan terbabit melintas yang diharap dapat mengingatkan pemandu supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.