Tee Choon Ser azam perbaiki sistem pengangkutan awam

Tee Choon Ser azam perbaiki sistem pengangkutan awam

KUANTAN: Menambah baik sistem pengangkutan awam dan membina pusat kecemerlangan belia antara tujuh janji bakal dilaksanakan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum. 

Tee Choon Ser berkata, ia akan segera dilaksanakan jika memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini, sekali gus memperbaiki kelemahan wakil rakyat pembangkang sebelum ini.  

Katanya, sistem pengangkutan awam tidak berjalan dengan baik dan kurang mendapat sambutan ramai selain ketiadaan lokasi golongan belia untuk beraktiviti. 

“Jika diberi mandat saya akan mengusahakan pembinaan pusat kecemerlangan belia Teruntum yang akan berfungsi sebagai ‘one stop centre’ untuk aktiviti dan program mereka.

“Saya juga akan menambah baik sistem pengangkutan awam, transit aliran bas di seluruh Teruntum secara lebih efektif dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Tee yang juga Ketua Wanita MCA Kuantan berkata, dia juga akan jadikan DUN Teruntum sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti, menubuhkan pusat kepimpinan dan kemahiran wanita serta menaik taraf infrastruktur sosial untuk kemudahan bersama.

“Selain itu saya akan berusaha menambah baik tatacara dan mengurangkan karenah birokrasi dalam menyelesaikan aduan awam,” katanya.

Beliau berkata, membudayakan politik matang dalam kalangan pemimpin muda tanpa mengira demografi.

Pada PRU15 Sabtu ini, Tee akan mencabar penyandang kerusi itu, Sim Chon Siang (PH), Yap Kim Heng (PN) dan Khairul Afifie Abdullah (PEJUANG). – NUR HANNAH KHADIJAH