Teguran dan impian orang muda

Teguran dan impian orang muda

KUALA LUMPUR: Kelab UMNO Luar Negara adalah antara platform yang relevan dalam melahirkan pemimpin masa depan negara, kata mahasiswa yang juga Pengerusi Kelab UMNO Medan, Haziq Hafiz Himas

Katanya, ia sebagai badan yang membantu mahasiswa di luar negara agar dapat menyemaikan kecintaan pada negara lebih baik.

“Sebagai satu-satunya pertubuhan penuntut di luar negara di bawah naungan parti politik, kita harus bertindak proaktif dalam menjadi badan menaungi mahasiswa di luar negara agar mereka ini dapat kita suburkan semangat dan kecintaan untuk membina negara yang lebih baik bersama UMNO.

“Jangan kita lupa banyak pengundi yang berada di luar negara. Bayangkan kalau mereka ini semua termakan dengan racun yang disuapkan oleh pihak-pihak pembangkang. 

“Bimbang kalau kita leka memikat hati pengundi ini, orang lain yang akan pinang mereka dahulu. Jangan pernah disia-siakan peluang ini. Jangan pernah untuk kita leka lagi sebelum parti politik lain ambil kesempatan dan lebih baik kita mengawal keadaan,” katanya.

Beliau juga berharap agar UMNO dapat mencari bakat berkualiti khususnya dari mahasiswa sebelum diambil oleh pembangkang.

“UMNO perlu segera memburu bakat-bakat berkualiti ini sebelum mereka beralih angin ternoda dengan fitnah dan penipuan puak pembangkang. 

“Masa depan yang kami impikan untuk UMNO adalah agar dapat bersatu tenaga tanpa mengira biro, kem mahupun identiti untuk membina UMNO yang lebih baik untuk anak muda.

“Segala bentuk sokongan dan dorongan kami terima seadanya. Tak kiralah masa, tenaga, wang ringgit atau kepakaran semua itu sangat bernilai buat kami dalam mengukuhkan kembali kedudukan dan legasi UMNO Luar Negara seperti dahulu kala,” ujarnya. – UMNO Online