‘Teh tarik’ dah makin surut

‘Teh tarik’ dah makin surut

KUANTAN: Hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kuantan setakat jam 4 petang hari ini dengan jumlah mangsa seramai 384 orang daripada 102 keluarga.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata secara keseluruhannya, jumlah semasa mangsa banjir kini seramai 17,738 orang daripada 5,460 keluarga yang ditempatkan di 125 PPS di lima daerah di negeri ini.

Katanya, Temerloh mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 8,307 orang daripada 2,436 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS.

“Seramai 3,705 mangsa daripada 1,334 keluarga ditempatkan di 18 PPS di Bentong, Maran (2,080 mangsa/585 keluarga) di 19 PPS, Maran (1,402 mangsa/405 mangsa) di 26 PPS dan Pekan (1,860 mangsa/598 keluarga) di 23 PPS,” katanya.

Menurutnya, sebanyak sembilan laluan ditutup di Maran iaitu Jalan KL – Kuantan, Jalan Pekan Sehari Kg Awah, Jalan Bkt Tajau-Bandar Pusat Jengka, Jalan Masuk Kg Paya Ladang, Jalan Kg Wau /Kertau, Jalan Serengkam, Jalan Chenor Sekara Kening, Pejing dan Jalan Chenor. 

“Laluan ditutup di Bera membabitkan Jalan Batu Bor, Jalan Bukit erdang, Jalan Bohor Bahru, Jlan Kuala Bera, Jalan Charuk Puting – Guai dan Jalan Charuk Puting – Selindang.

“Di Pekan pula membabitkan Jalan Teluk Ganchong Lepar, Pelak – Belimbing, Jalan Mentiga Terapai dan Belimbing – Sri Makmur,” katanya. HELMY ABD RAHMAN