KUANTAN: Demi minat mendalam memikul tanggung jawab sebagai pendidik, seorang guru sanggup melupakan kesakitan dialami untuk terus mengajar.
Malah, Mariah Mohd Saleh, 51, yang mengajar subjek pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar di sini, terpaksa menelan sekurang-kurangnya 15 biji ubat akibat sakit tulang belakang kronik yang dialami sejak 2019.
“Jiwa saya terlalu kuat untuk terus memikul tugas sebagai pendidik sambil mencurah ilmu agama, namun apakan daya ujian kesihatan serius yang dihadapi membatas segalanya.
“Saya reda dengan ujian sakit tulang belakang ini yang juga menyebabkan saraf anggota badan menjadi lemah” katanya.
Mariah berkata, dia kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak bagi mengelakkan kesakitan dan kecederaan lebih serius.
“Untuk mengurangkan kesakitan, saya perlu makan ubat tahan sakit dan saraf sekurang-kurangnya 15 biji sehari yang perlu dimakan setiap tiga jam sekali bermula enam pagi hingga malam.
“Niat saya ingin mengajar hingga sampai keperingkat bersara wajib, namun apakan daya impian berkenaan terpaksa dipadamkan disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Menurutnya, sukar untuk dirinya membuat keputusan bersara terutama selepas 25 tahun bertugas sebagai pendidik.
“Jiwa saya masih kuat untuk berhadapan dengan pelajar yang dahagakan ilmu agama. Bagaimanapun disebabkan kesukaran bergerak dan tidak mampu lagi menahan kesakitan, saya terpaksa membuat keputusan yang terlalu berat untuk dilakukan ini,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Mariah ditemui wartawan selepas menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada Majlis APC 2021 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Dato’ Mohd Zaili Besar yang mewakili Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Hadir sama Pegawai PPD Kuantan, Miftah Surif. – MOHD IMRAN IZZAD