Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Selepas hampir dua tahun menunggu akhirnya penantian untuk Pulau Tioman dibuka semula kepada pelancong menjadi kenyataan apabila Pahang memasuki fasa ke tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Rata-rata usahawan sektor pelancongan di pulau peranginan itu bersyukur apabila berpeluang meneruskan perniagaan selepas tidak beroperasi sekian lama.
Pemilik Tioman Santai Resort di Kampung Juara, Razib Ali Awang, 55, berkata selepas sekian lama tidak beroperasi disebabkan ketiadaan pelancong akhirnya pintu ke Pulau Tioman mula dibuka.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun tidak beroperasi pelbagai cabaran serta dugaan terpaksa dihadapi, gaji pekerja dan bil elektrik perlu dibayar walaupun tidak setinggi sebelum ini.
Katanya, selepas kerajaan mengumumkan Pahang memasuki fasa ke tiga PPN, tempahan percutian oleh pelancong minggu depan sudah mula diterima walaupun tidak serancak sebelum ini.
“Bagaimanapun, kehadiran pelancong ke Pulau Tioman hanya dalam dua bulan sebelum tiba musim tengkujuh. Kami akan beroperasi semula awal tahun depan bergantung pada keadaan cuaca semasa,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Kampung Juara berkata dalam tempoh dua tahun sektor pelancong terhenti ramai usahawan terpaksa gulung tikar, antara yang menutup operasi ialah mereka yang menyediakan kemudahan aktiviti menyelam.
Razib berkata, gelembung pelancongan Pulau Tioman diharap membuka sinar baharu kepada pemain sektor pelancongan yang begitu terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim, berkata pemain sektor pelancongan di Pulau Tioman diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita tidak ingin melihat pembukaan sektor pelancongan di pulau peranginan itu berakhir dengan penularan wabak Covid-19 yang akhirnya mengundang tindakan tegas pihak kerajaan,” katanya.