Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju melanjutkan lagi tempoh bayaran cukai tanah tahun ini sehingga 30 September.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah bagi mengurangkan beban semua pemilik tanah berdaftar di negeri ini.
“Kerajaan negeri menghargai komitmen pemilik tanah yang tetap menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah sungguhpun dalam situasi mencabar akibat penularan COVID-19.
“Demi melegakan dan menzahirkan penghargaan ini, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan lagi tempoh bayaran cukai tanah tahun ini kepada semua pemilik tanah berdaftar di Pahang sehingga 30 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan langkah berkenaan, denda lewat hanya akan dikenakan mulai 1 Oktober depan.
“Dengan keputusan ini diharapkan, pemilik tanah dapat terus menujukkan komitmen tinggi untuk menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah masing-masing, Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Pahang mengumumkan pelanjutan tempoh pembayaran cukai tanah sehingga 31 Ogos lalu, berbanding tarikh asal 31 Mei 2021 untuk memberi masa mencukupi kepada semua pemilik tanah berdaftar di negeri ini membuat pembayaran.