Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah sehingga 31 Ogos depan, berbanding tarikh asal 31 Mei ini.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diharapkan dapat memberi masa mencukupi kepada semua pemilik tanah berdaftar di negeri ini untuk membuat pembayaran.
“Dengan pelanjutan tempoh pembayaran ini juga bermakna denda lewat 10 peratus daripada nilai cukai tanah hanya akan dikenakan mulai 1 September.
“Keputusan ini dibuat berasaskan sikap prihatin kerajaan negeri kepada masalah dihadapi rakyat berikutan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di seluruh negara, bagi membendung penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, penguatkuasaan PKP oleh Kerajaan Persekutuan mengehadkan pada tahap tertentu, pergerakan dan perkhidmatan di seluruh negara sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemilik tanah.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri amat menghargai usaha dan komitmen pemilik tanah di Pahang untuk tetap menjelaskan cukai tanah mereka dalam tempoh ditetapkan.
“Diharapkan, pelanjutan tempoh akhir bayaran cukai tanah ini dapat memberi masa yang cukup dan sewajarnya untuk mereka (pemilik tanah) menunaikan tanggung jawab bagi menjelaskan cukai tanah masing-masing,” katanya.