KUANTAN: Penduduk enam daerah di Pahang dinasihati sentiasa peka keadaan cuaca sepanjang tempoh musim tengkujuh yang sudah bermula bulan ini hingga Mac depan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata enam daerah terbabit ialah Maran, Lipis, Bentong, Raub, Temerloh dan Bera yang tumpuan diberikan di kawasan pedalaman.
Menurutnya, lima daerah lain iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Cameron Highlands dan Jerantut tetap dipantau.
“Oleh itu, penduduk yang berada di kawasan rendah dan kawasan yang dilanda banjir supaya sentiasa peka dan mengikut arahan daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagi persediaan menghadapi Monsun Timur laut, beliau berkata, seramai 1,199 pegawai dan anggota sudah bersiap sedia.
Katanya, dengan latihan simulasi banjir yang dijalankan, pegawai dan anggota APM negeri akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam membantu mangsa banjir.
“APM turut bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam operasi menyelamat.
“Dengan kemudahan logistik sedia ada bersama bantuan daripada agensi lain, operasi menyelamat dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya. MUHAMMAD IZZ ZAHIN