KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sementara Taman Eko Rimba (TER) Beserah, di sini, susulan terdapat kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.
Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata penutupan itu bermula semalam sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan nanti.
“Saya menasihatkan kepada penduduk setempat dan pelancong supaya tidak cuba masuk ke kawasan perkelahan itu sebelum ia disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
“Kes kencing tikus pernah berlaku di TER Lubuk Yu, Maran pada 2010 yang menyebabkan tempat berkenaan terpaksa ditutup beberapa bulan demi keselamatan pengunjung,” katanya. –
Selain itu, katanya, TER Beserah tidak mempunyai operator untuk melakukan aktiviti penyelenggaraan sekali gus menyebabkan tempat berkenaan tidak terurus berbanding beberapa TER lain di daerah ini.
TER Beserah terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong untuk mereka berkelah sambil mandi kolam yang terdapat di situ terutama pada hujung minggu dan cuti umum. – MOHD IMRAN IZZAD