TER Mossy Forest ditutup lapan hari

TER Mossy Forest ditutup lapan hari

CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest selama lapan hari bermula hari ini.

Penutupan itu bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan masuk ke stesen Very High Frequency (VHF) milik Telekom Malaysia Bhd (TM) di Gunung Brinchang.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata semuaaktiviti di kawasan pelancongan itu tidak dapat dilakukan dalam tempoh berkenaan berikutan projek pembinaan jalan sedang dijalankan.

“Jalan selesa disediakan kerajaan dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada pelancong yang ingin berkunjung ke TER Mossy Forest  dan Gunung Irau yang sememangnya sudah lama terkenal.

“JPNP juga sudah menaik taraf kemudahan di TER Mossy Forest membabitkan perbelanjaan RM450,000 

dengan membina tempat letak kereta,

bangunan kaunter tiket dan penerangan serta pelantar pemandangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran pelancong TER Mossy Forest kini menggalakkan selepas kerajaan mula membuka sektor pelancongan dan pintu sempadan negara. – MOHD IMRAN IZZAD.