Terbaik warga dakwah Orang Asli kat Pahang ni

Terbaik warga dakwah Orang Asli kat Pahang ni

KUANTAN: Pahang menyapu bersih semua anugerah dipertandingkan dalam  Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, hari ini.

Berkongsi kejayaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sebanyak empat anugerah dimenangi iaitu Surau Kampung Orang Asli Terbaik, Surau Diri Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik, Tokoh Kepimpinan Masyarakat Orang Asli dan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Qudwah Kebangsaan.

“Anugerah Surau Kampung Orang Asli Terbaik dimenangi Surau KOA (Kampung Orang Asli) Sungai Dua, Ulu Bentong; Surau Diri Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik jatuh kepasa SKJ KOA Leryar Cameron Highlands; Tokoh Kepimpinan Masyarakat Orang Asli dinobatkan kepada Batin Fendi Yunus (Batin KOA Penderas, Temerloh ) dan Anugerah PMOA Qudwah Kebangsaan diberikan kepada Ustaz Abu Yazid (PMOA KOA Sg Mas, Kuantan).

“Kejayaan buat semua daie dan masyarakat Orang Asli Pahang apabila menggondol semua  anugerah yang dipertandingkan ini,” katanya, hari ini.

Simposium itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, beliau berharap kejayaan itu menjadi motivasi kepada semua warga dakwah di negeri ini untuk menjalankan tugas dan amanah lebih cemerlang pada masa depan.

“Tahniah juga kepada semua yang berjaya dari Pahang dan Jaip (Jabatan Agama Islam Pahang) terutama bahagian dakwah dan bahagian PMOA,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN