Terbaiklah, Pahang pun ada Rafflesia

Terbaiklah, Pahang pun ada Rafflesia

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

Kuantan: Bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau terkenal sebagai Pakma didapati tumbuh dalam beberapa kawasan hutan simpan dan Taman Eko Rimba (TER) di Raub, Jerantut, Lipis serta Pulau Tioman.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Regina Mariah Jong, berkata usaha mempromosikan Rafflesia kini giat dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan.

Katanya, jabatan sudah pun menyediakan laluan bagi kemudahan pelancong untuk sampai ke kawasan tumbuhan unik berkenaan. 

“Bagaimanapun, pelancong ingin masuk ke hutan untuk melihat Rafflesia perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan permit bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, jabatan kini dalam proses menyediakan video mengenai Rafflesia yang terdapat di Pahang bagi tujuan promosi.

Katanya, TER Lata Jarum, di Raub adalah antara lokasi terkenal dengan Rafflesia dan ramai pelancong tempatan sempat melihat dengan dekat bunga itu berkembang.

Regina Mariah berkata, bunga parasit berwarna mewah turut terdapat di hutan Sungai Rengat, Jerantut, di samping di Kampung Tekek dan Juara, di Tioman.

“Kita juga berharap masyarakat setempat dapat memberi kerjasama menjaga bunga itu bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil tunas dan putik bunga yang mirip kubis merah dan dikatakan boleh dijadikan ubat,” katanya.