Terima kasih abang bomba bantu makcik Julia

Terima kasih abang bomba bantu makcik Julia

KUANTAN: Wanita warga emas dari Pulau Tioman, Rompin, terpaksa diterbangkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas mengalami sesak nafas.

Julia Ali Ahmad, 70, diterbangkan dari Lapangan Terbang Kampung Tekek, Pulau Tioman, ke Ibu Pejabat JBPM Pahang, dekat Indera Mahkota, di sini, pada 10.28 pagi, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya melakukan penerbangan ihsan itu selepas menerima permohonan daripada kakitangan kesihatan di pulau terbabit.

“Operasi pemindahan perubatan (MEDIVAC) itu bermula pada 9.47 pagi dan berakhir 10.30 pagi. Warga emas terbabit mengalami masalah pernafasan dan perlu segera dipindahkan ke HTAA bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, operasi menggunakan helikopter AW189 dengan kekuatan lima anggota termasuk juruterbang mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman, yang kemudian dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Tioman.

“Turut bersama dalam penerbangan itu dua kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk doktor dan jururawat serta seorang waris kepada pesakit.

“Helikopter terbabit selamat mendarat di padang Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota sebelum pesakit dibawa ke HTAA dengan ambulans,” katanya. – FATH AHNAF