Terima kasih bantu kami

Terima kasih bantu kami

PEKAN: Dua beradik dari Kampung Acheh yang juga mangsa kemalangan jalan raya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menghulurkan sumbangan kerusi roda kepada mereka. 

Mohd Zamrul Ismayudin Azhar, 17, dan Nur Aliyah Mardihah,13, terharu dengan sumbangan berkenaan dan berjanji akan memanfaatkan pemberian itu sebaik mungkin. 

“Terima kasih kepada kerajaan negeri, terutama YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin keadaan kami dengan memberi kerusi roda ini.

“Kerusi roda ini akan lebih memudahkan pergerakan kami di rumah dan apabila hendak berulang-alik menjalani rawatan susulan di hospital,” kata Mohd Zamrul Ismayudin yang ditemui selepas menerima sumbangan disampaikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, di rumahnya, di sini, semalam.

Mohd Zamrul Ismayudin dan Nur Aliyah Mardihah, kecelakaan ketika dalam dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Paloh Hinai, pada 9 Disember lalu. 

Kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggangi Mohd Zamrul Ismayudin melanggar belakang kenderaan yang tiba-tiba membelok sehingga menyebabkan kedua-duanya tercampak ke bahu jalan.

Akibat kemalangan itu, kedua beradik itu patah tulang paha dan menerima rawatan di Hospital Pekan. – NUR HANNAH KHADIJAH