Terima kasih `Coach’ – Ashar

Terima kasih `Coach’ – Ashar

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pemain Sri Pahang FC, Ashar Al Aafiz Abdullah berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Dollah Salleh untuk memperkasakan pasukan itu.

  Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, kepercayaan yang diberikan bekas pemain kebangsaan itu memberi lebih keyakinan dan semangat kepada dirinya.

Aksi pemain pertahanan Sri Pahang FC, Ashar Al Aafiz Abdullah (kiri) ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

  Katanya, tiada yang lebih menggembirakan apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama pada tujuh perlawanan setakat ini.

  “Pada tiga perlawanan awal, saya tidak disenaraikan tetapi selepas itu jurulatih meletakkan saya selaku pemain utama.

  “Setakat ini, saya sudah melakukan yang terbaik buat pasukan selain dibantu rakan sepasukan untuk mempamerkan prestasi terbaik.

  “Sebagai pemain sudah pasti minit permainan akan menjadikan pemain memiliki pengalaman dan ia turut dialami oleh saya untuk lebih matang,” katanya.

  Ditanya perlawanan menentang UiTM FC Sabtu ini, Ashar mengakui terkilan kerana tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

  Namun, beliau mahu rakan sepasukan dapat mempamerkan aksi terbaik terutama mengutip tiga mata selepas kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Sabah pada 16 Mac lalu.

  “Misi utama pasukan adalah untuk mencatat kemenangan diharap dapat direaliasikan rakan sepasukan,” katanya.