‘Terima kasih, dapatlah saya sekeluarga berteduh dengan lebih selesa

‘Terima kasih, dapatlah saya sekeluarga berteduh dengan lebih selesa

KUANTAN: “Tiada apa yang mampu saya katakan selain ucapan jutaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang memilih saya sebagai penerima bantuan rumah secara percuma bernilai RM65,000 ini.

“Saya bersyukur sangat kerana dengan adanya rumah ini dapatlah saya sekeluarga berteduh dengan lebih selesa,” kata Mohd Faisal Ibrahim, 32.

Mohd Faisal ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang disampaikan EXCO Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dato’ Abd Rahim Muda di Kampung Chendering bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Penyelaras Briged DUN Panching, Dato’ Mohd Zaili Besar.

Bapa kepada tiga anak itu berterima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana mewujudkan skim RRP yang bertujuan membantu rakyat kurang berkemampuan.

“MB sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat termasuk impian memiliki rumah sendiri,” katanya yang sebelum ini menetap bersama ibunya di kampung berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Abd Rahim berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan semua unit RRP di seluruh negeri.

“Sehingga ini, kerja pembinaan rumah yang berharga RM65,000 setiap unit berjalan lancar dan hampir 90 peratus berjaya disiapkan.

“Alhamdulillah, RRP ini diberikan secara percuma kepada individu yang layak dan merupakan satu usaha gigih diambil YAB Menteri Besar untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hampir 600 unit RRP sudah dibina sejak projek itu dilancarkan mulai 2020 dan mensasarkan tambahan seribu unit rumah yang akan dibina pada tahun hadapan.

“Kerajaan negeri juga sanggup menampung kos pembinaan daripada RM65,000 kepada RM75,000 seunit mulai tahun hadapan,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH