Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM) Kuantan, di sini, menerima tiga kerusi roda, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sumbangan Malaysian Relief Agency (MRA) Pahang.
Ketua Penyelaras PPV, Prof Madya Dr Razman Mohd Rus, berkata pihaknya turut menerima sumbangan makanan ringan daripada MRA Pahang yang tampil membantu meringankan beban urusetia program.
“Pelitup muka, cecair pembasmi kuman khusus untuk kegunaan 184 petugas kesihatan dan 136 sukarelawan terdiri daripada penuntut UIAM kampus Kuantan,” katanya yang menerima sumbangan itu daripada Setiausaha MRA Pahang, Mahadi Deraman, di sini semalam.
Dr Razman berkata, sebelum ini pihaknya turut menerima sumbangan barangan termasuk air minum daripada pelbagai pihak yang prihatin.
Sementara itu, Mahadi berkata, sumbangan sebagai tanda sokongan pihaknya terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan.
“Semua pihak perlu menghargai pengorbanan mereka dan hulurkanlah sumbangan jika ada peluang,” katanya.