Terima kasih PM lulus peruntukkan bina loji air baharu

Terima kasih PM lulus peruntukkan bina loji air baharu

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membina Loji Air Mempatih di Lanchang, Temerloh, yang baharu.

Justeru, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebook, hari ini, mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di atas kelulusan itu.

“Hari ini, saya telah mengiringi Perdana Menteri Malaysia melancarkan Misi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dan menyerahkan wang ihsan kepada mangsa banjir daerah Temerloh di Dewan MPT Dataran Dato’ Bahaman, Lanchang, Temerloh.

“Kerajaan negeri akan meneliti dan mengkaji beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk pasca banjir di Pahang.

“Ini termasuklah cadangan untuk membina semula penempatan banjir yang diperkenalkan pada 1970-an yang pada ketika itu kerajaan negeri membina penempatan baru bagi menempatkan semula penduduk yang berada di kawasan yang rendah,” katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga akan memberi perhatian terhadap cadangan pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang kerap berlaku banjir dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN