KUANTAN: Kerajaan Pahang menghargai dan berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pengumuman beliau untuk memberikan pampasan kepada negeri ini yang mempunyai peratusan hutan simpan tertinggi di Semenanjung Malaysia.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Kerajaan Pahang komited mengekalkan 57 peratus khazanah alam itu meskipun memerlukan perbelanjaan tinggi.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman beliau untuk mengurniakan pampasan kepada Pahang berikutan mempunyai peratusan hutan simpan tertinggi di Semenanjung Malaysia.
“Komitmen kerajaan tentunya menyebabkan implikasi kewangan tinggi kerana ia memberikan kesan kepada pengeluaran hasil hutan dan pelbagai aktiviti ekonomi yang membabitkan penggunaan tanah.
“Namun, sedar akan kepentingan jangka panjang pengekalan hutan simpan di Malaysia, Kerajaan Pahang akan terus berusaha memelihara hutan di negeri ini untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN