Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Prihatin nasib mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu baru-baru ini, Kerajaan Selangor menghulurkan sumbangan RM1 juta kepada Kerajaan Pahang, hari ini.
Sumbangan itu diterima Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail daripada Menteri Besar Selangor, Dato’ Sri Amirudin Shari yang diadakan secara dalam talian .
“Syukur Alhamdulillah, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas ingatan Menteri Besar Selangor (Dato’ Sri Amirudin) dan Kerajaan Selangor pimpinannya yang menyumbang RM1 juta kepada Pahang.
“Ini sebagai perbelanjaan bagi meringankan beban penduduk negeri ini yang terkesan dengan bencana banjir, baru-baru ini.
“Walaupun hanya dapat bersemuka secara dalam talian demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia amat bermakna,” kata Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Kejadian banjir di Pahang baru-baru ini membabitkan kira-kira 26,000 mangsa daripada 7,000 keluarga di Pahang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di 10 daerah.
Maran, Jerantut. Temerloh, Raub dan Lipis antara daerah yang terjejas teruk akibat banjir yang berpunca daripada hujan lebat berterusan selama beberapa hari.
Hanya daerah Cameron Highlands yang tidak dilanda banjir.