Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Ahli Parlimen Paya Besar, YB Shahar Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.
Beliau turut berterima kasih kepada pegawai di Kementerian Kewangan (MOF) yang banyak memberikan kerjasama baik sepanjang perkhidmatannya.
“Saya mohon maaf dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki jika ada terlebih dan ada yang terkurang. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah SWT dan yang buruk itu daripada saya sendiri.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya akan terus menjalankan khidmat dan amanah saya untuk membantu rakyat Paya Besar,,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Shahar berkata, beliau akan sentiasa ada untuk semua dan seperti biasa akan terus bekerja keras dan membantu selagi mampu dalam menjalankan amanah.
“Saya tidak minta banyak, hanya mohon doa anda semua supaya saya dan team YBS diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus beristiqomah dalam memberi perkhidmatan yang terbaik anda semua, Insya-Allah.
“Semoga Allah SWT merahmati negara yang kita cintai ini dan merahmati seluruh penduduknya. Terima kasih semua,” katanya.