Terima kasih Tok Wan bagi kami berniaga

Terima kasih Tok Wan bagi kami berniaga

KUANTAN: Peniaga Pasar Tani UTC, Jalan Bukit Sekilau, di sini, berterima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, kerana mendengar rintihan mereka untuk menangguhkan pemindahan tapak niaga ke Serambi Teruntum. 

“Keprihatinan Tok Wan terhadap nasib 169 peniaga Pasar Tani UTC amat dihargai,” kata Pengerusi Pasar Tani UTC, Azhan Sulaiman, pada perhimpunan tanda terima kasih kepada YAB Menteri Besar,  di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas mendapat notis Pasar Tani UTC akan berpindah, peniaga terkejut dan bagaikan tidak percaya arahan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan alasan mengelak berlaku kesesakan jalan raya setiap Ahad.

“Peniaga ingin terus berniaga di Pasar Tani UTC terutama selepas sembilan tahun mencari rezeki di tempat ini. Kalau boleh kami ingin terus berniaga di UTS. 

“Isu kesesakan lalu-lintas boleh diatasi sekiranya kawasan letak kenderaan di perkarangan Stadium Darul Makmur dapat digunakan sepenuhnya oleh pengunjung pasar tani,” katanya.

Peniaga barangan plastik yang hanya mahu dikenali sebagai Ani berkata, sekiranya tempat meletak kenderaan mencukupi masalah kesesakan lalu-lintas mungkin tidak berlaku.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih pada Tok Wan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.