KUANTAN: Keluarga Azhar Mohamad, 37, yang diserang angin ahmar di Korea Selatan, pada 31 Ogos lalu, berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan Kerajaan Pahang, khususnya YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Nora, 44, yang juga kakak kepada Azhar, berkata dia bersama ahli keluarga menghargai sumbangan RM30,000 yang menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri.
“Bersyukur sangat apabila menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang terutama YAB Menteri Besar.
“Sumbangan ini amat bermakna untuk membiayai kos rawatan di Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan.
“Setakat ini, kami tidak tahu jumlah sebenar dan hasil daripada sumbangan orang ramai, syarikat korporat dan Kerajaan pahang. Tapi, sejumlah RM110,000 sudah diterima,” katanya yang menerima cek sumbangan daripada Wan Rosdy di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.
Ditanya perkembangan terkini Azhar, Nora berkata, adiknya memberikan maklum balas positif ketika ditanya rakannya dengan membuka muka dan gerakan kaki.
“Diharapkan perkembangan ini membantu Azhar sembuh lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Wan Rosdy berkata, sejumlah RM249,150 diperuntukan kepada 34 penerima termasuk RM30,000 yang disampaikan kepada keluarga Azhar.
“Saya berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban penerima, termasuk saudara Azhar. Saya doakan agar segera sembuh,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN