Oleh Zulkepli Osman
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Seramai 1,400 murid sekolah rendah dan 1,400 lagi pelajar sekolah menengah daripada kalangan keluarga B40 di negeri ini menerima Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Back To School (BTS) @KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) bagi sesi persekolahan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ia membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM168,000.
“Kali ini giliran murid dan pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau dan Jenderak pula menerima bantuan ini.
“Menerusi majlis hari ini, murid dan pelajar keluarga B40 dari 16 sekolah rendah serta empat sekolah menengah di dua Dun yang terletak di Parlimen Kuala Krau, diberikan bantuan bagi meringankan bebanan keluarga masing-masing untuk menyediakan kelengkapan anak mereka,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Back To School (BTS) @KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Sri Ketumbit, Kuala Krau di sini, hari ini.
Hadir sama, Adun Jenderak, Dato’ Sri Mohamed Jaafar dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, pihaknya amat mengalu-alukan usaha murni seperti itu.
“Terima Kasih YPM yang dihadiri sendiri oleh Pengarah Mara Pahang, Soffian Mustafa, bersama PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Temerloh diwakili Mohd Affendey Mohd Saad, membantu anak-anak B40 di Dun Kerdau dan Jenderak.
“Kami bersama kepemimpinan setempat meraikan usaha murni Kerajaan melalui YPM membantu anak-anak B40 di sekolah seluruh Pahang dan hari ini giliran di SMK Kerdau, Kuala Krau, Telok Sentang, SBPI (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi) dan 16 sekolah rendah di kedua-dua Dun,” katanya.