Terima kasihlah bantu kami penjaja kecil

Terima kasihlah bantu kami penjaja kecil

KUANTAN: “Sebagai peniaga, saya amat bersyukur atas sumbangan tunai yang diberikan Kerajaan Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022,” kata peniaga sata, Muhamad Safiuddin Omar, 30.

Muhamad Safiuddin berkata, BPP itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu dan meringankan beban selepas terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

KUANTAN. Peniaga sata, Muhamad Safiuddin Omar dan peniaga air balang, Khairul Azri Mohamed.

Beliau antara dua ratus penjaja di daerah ini yang masing-masing menerima RM200 menerusi program BPP di Dewan Bandaraya, Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Penyampaian bantuan itu disempurnakan oleh Ahli Majlis MBK, Dato’ Wan Solihi Wan Hassan.

Peniaga air balang, Khairul Azri Mohamed, 39, pula berterima kasih kerana kerajaan negeri begitu prihatin dengan rakyat Pahang, khususnya golongan penjaja.

“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu selepas negara berdepan penularan wabak COVID-19,” katanya. -MUHAMMAD IZZ ZAHIN