Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
JERANTUT: “Terima kasih kerajaan kita (Kerajaan Pahang) yang amat adil memelihara rakyat, dia (mereka) beri makan, bantuan dan kali ini dapat pula geran tanah.
“Wan (nenek) bersyukur sangat kepada kerajaan sekarang ini,” ujar Samsiah Abdul Hamid, 84, dari Kampung Pagi, di sini.
Warga emas itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila terpilih antara 50 penerima Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) yang disampaikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Pagi di sini, hari ini.
“Kalau nak harapkan Wan membalas, memang tak akan dapat balas, hanya Allah yang dapat membalas jasa baik Kerajaan (Pahang) ini.
“Wan nak pesan juga kepada anak cucu semua, kenanglah jasa mereka ini yang dah terlalu banyak menolong kita. Terima kasihlah deme deme (kamu) semua,” katanya yang mempunyai seorang anak, lima cucu dan 12 cicit.
Bagi Hamidah Matsi, 71, dia berasa seronok tidak terhingga apabila Kerajaan Pahang bukan sahaja menyampaikan geran tanah, malah meluluskan pemberian tanah sebanyak tiga ekar (1.2 hektar) kepada semua penerima.
“Selepas berpuluh-puluh tahun menunggu, hari ini rasa seperti mahu menangis atas geran ini. Kepada YAB Menteri Besar, terima kasih sangat sangat,” kata ibu kepada lapan anak berusia 30 hingga 52 tahun itu.
Sementara itu, Wan Rosdy mengingatkan penerima supaya menguruskan tanah yang diterima dan tidak menjualnya kepada pihak lain.
“Di Kampung Pagi ini, kita setuju mengurniakan lot tiga ekar supaya padanlah (berbaloi) untuk dibangunkan. Pesanan saya supaya jaga tanah yang diperoleh sebaik mungkin kerana untuk mendapatkannya bukan satu perkara yang mudah kerana ia ambil masa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah; Pengarah Perhutanan Pahang, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin; Adun Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.