Terjun sungai takut ditahan KPDNHEP

Terjun sungai takut ditahan KPDNHEP

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang berjaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dan penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG) haram dalam dua serbuan berasingan di Batu Tiga, di sini, pada kelmarin dan semalam. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa, KPDNHEP negeri, Muhamad Radzi Johari, berkata serbuan pertama membabitkan kes penyelewengan diesel bersubsidi pada petang kelmarin. 

“Kita membuat serbuan ke stor penyimpanan haram diesel yang membawa kepada penemuan lima ‘skid tank’ (tangki minyak) dianggarkan mengandungi 7,000 liter diesel. 

“Turut ditemui, sebuah pam minyak yang digunakan untuk memindahkan diesel ke bot nelayan,” katanya pada sidang media di lokasi berkenaan, di sini, semalam. 

Menurutnya, pihaknya juga menemui seorang lelaki berbangsa Myanmar dipercayai penjaga kawasan pam minyak berkenaan. 

“Bagaimanapun, lelaki itu sempat melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai sebaik ketibaan anggota penguat kuasa di lokasi,” katanya. 

Susulan itu, Muhamad Radzi Johari berkata, pihaknya bertindak menyita tangki minyak dianggarkan bernilai RM20,000, minyak diesel (RM31,500) dan pam minyak (RM2,000) membabitkan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM53,500.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Muhamad Radzi berkata, pihaknya telah datang semula ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan lanjut berkait kes pertama pagi semalam namun menemukan sebuah kontena dalam keadaan mencurigakan berhampairan lokasi kes pertama. 

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam kontena berkenaan menemui  57 tong LPG 14KG dan susulan itu, seorang lelaki berusia 60-an yang juga pemilik kontena ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. 

“Semua tong gas LPG berkenaan dianggarkan bernilai RM6,076 dan disita untuk tindakan selanjutnya. Jika sabit kesalahan, pemilik boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya,” katanya. 

Katanya, KPDNHEP Pahang melakukan pemeriksaan ke atas 32,457 premis membabitkan pelbagai peringkat perniagaan sejak awal tahun ini sehingga semalam. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 370 kes dibuka membabitkan nilai rampasan sebanyak RM39,411 dan kompaun sebanyak RM227,300,” katanya. – FATH AHNAFÂ