Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh meluahkan kekecewaan susulan kekalahan 1-2 pasukan itu kepada Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kekalahan itu berpunca daripada sikap terlalu menghormati pemain tuan rumah sehingga menjejaskan rentak permainan pasukan itu.
Katanya, kurang keyakinan dan bermain sambil lewa terutama pada separuh masa pertama menyaksikan Kuala Lumpur City mengambil kesempatan.
“Biarpun ada peningkatan yang dipersembahkan pada babak kedua perlawanan, ia gagal untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata dibawa pulang.
“Peningkatan yang dipersmebahkan pada baki 15 minit terakhir perlawanan dan hasilnya satu gol berjaya dijaringkan.
“Namun, jaringan itu tidak dapat menyekat tuan rumah daripada mengutip tiga mata ketika pasukan amat memerlukan mata dalam usaha memperbaiki kedudukan,” katanya.
Pada masa sama, Dollah berkata, ketumpulan jentera serangan melakukan penyudah tepat menafikan misi pasukan itu untuk membawa sekurang-kurangnya satu mata.
Katanya, pasukan itu turut memiliki beberapa peluang dalam menghasilkan gol tetapi gagal disempurnakan.
“Kita banyak mencipta peluang tetapi jaringan tidak dapat dilakukan kerana penyudah tumpul,” katanya.
Selepas lapan perlawanan, Sri Pahang kembali menghuni dua tangga tercorot Liga Super iaitu berada di kedudukan ke-11 dengan mengutip lima mata.