Terlewat hantar vaksin gara-gara babi hutan

Terlewat hantar vaksin gara-gara babi hutan

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Perjalanan petugas Jabatan Kesihatan Daerah Pekan menghantar bekalan vaksin ke Klinik Kesihatan Chini, Pekan, tergendala selepas kenderaan mereka naiki terbabas selepas terlanggar babi hutan melintas, dalam kejadian Rabu lalu.

Rakaman kejadian itu tersebar di media sosial sejak malam tadi dan disahkan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi hari ini. 

Mohd Zaidi berkata, kejadian berlaku di Kilometer 10 Jalan Pekan-Batu Balik, dekat Pekan, kira-kira jam 9 pagi membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Xtrail milik Jabatan Kesihatan Daerah Pekan.

Keadaan kenderaan Jabatan Kesihatan Daerah Pekan selepas terbabas akibat terlanggar babi yang melintas di Jalan Pekan-Batu Balik, dekat Pekan, Rabu lalu.

“Ketika kejadian, kenderaan terbabit dinaiki dua kakitangan jabatan berkenaan iaitu pemandu berusia 46 tahun dan seorang pegawai farmasi berusia 39 tahun yang sedang dalam perjalanan menghantar bekalan vaksin COVID-19 ke Klinik Kesihatan Chini.

“Setiba di lokasi kejadian, seekor babi tiba-tiba melintas dari arah kiri jalan menyebabkan pemandu kenderaan gagal mengelak dan merempuh haiwan liar terbabit menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam semak di bahu kanan jalan,” katanya.

Rakaman video kemalangan

Menurutnya, anggota polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan yang mengiringi kenderaan pacuan empat roda terbabit kemudian segera menghulurkan bantuan kepada mangsa sebaik menyedari kemalangan itu.

“Bagaimanapun, dua kakitangan Jabatan Kesihatan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kenderaan yang dinaiki mereka mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan sudah dihantar ke unit kenderaan jabatan untuk tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.