RTP online
Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Permintaan menggalakkan terhadap daging rusa selain harga yang memuaskan mendorong Saharuddin Mansor, 57, menternak haiwan berkenaan sejak lapan tahun lalu.
Bermula dengan sepasang rusa, kini bertambah menjadi 11 esok, faktor kawasan yang terhad menyebabkan jumlah rusa tidak boleh terlalu banyak dalam satu masa.
Menurut Saharuddin, setiap kali Aidilfitri dia akan menyembelih antara dua hingga empat ekor rusa dewasa bagi memenuhi permintaan pengemar haiwan eksotik itu.
Katanya, walaupun dijual dengan harga mencecah RM65 sekilogram (kg) namun ia bukan penghalang kepada masyarakat setempat membelinya bagi merasai keenakan daging haiwan berkenaan.
“Permintaan terhadap daging rusa begitu menggalakkan malah tidak mencukupi terutama setiap kali
Aidilfitri, seminggu sebelum raya saya sudah menerima tempahan terutama di kalangan pelanggan tetap.
“Kebanyakan pengemar haiwan eksotik itu membeli antara satu kilogram (kg) hingga tiga kg, rata-rata pembeli berpendapat harga tinggi bukan penghalang untuk mereka merasai daging rusa yang sukar diperolehi,” katanya.
Dia yang tinggal di Kampung Kelat Rendang, di sini berkata, menternak rusa tidak terlalu susah, penyediaan minuman dan makanan seperti rumput perlu diberi keutamaan.
Saharuddin berkata, dia turut memberi rusa peliharaannya makan roti sebagai makanan tambahan, rumput diberi dua kali sehari dan roti tiga hingga empat kali seminggu.
Katanya, dia menempatkan kandang rusa di belakang rumahnya bagi memudahkan pemantauan setiap hari, haiwan berkenaan jinak dan setiap tahun membiak.
“Selain rusa saya juga menternak sembilan ekor landak raya sebagai hobi, haiwan berkenaan ditempatkan dalam kurungan khas terletak di belakang rumah.
“Walaupun ada permintaan terhadap daging landak raya namun saya belum bercadang untuk menjualnya,” katanya yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).