Terowong pintar antara kaedah dikaji bagi mengawal bah

Terowong pintar antara kaedah dikaji bagi mengawal bah

TEMERLOH: Kerajaan akan mengkaji cadangan seperti pembinaan tembok tebatan air dan beberapa kaedah lain bagi mengelak dan mengawal banjir besar yang mengakibatkan banyak kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, kaedah lain seperti kolam pengumpulan air, terowong pintar dan penggunaan span (sponge) bagi mengawal limpahan air sungai dan hujan juga akan dikaji.

Ismail Sabri berkata, walaupun perancangan sedemikian akan menelan kos yang tinggi namun ia berbaloi untuk jangka masa yang panjang berbanding usaha sekarang ini yang memerlukan peruntukan yang agak besar.

Beliau berkata, kesemua cadangan itu memerlukan kajian dan perbincangan lanjut antara pelbagai agensi kerajaan.

Ismail Sabri berkata, antara langkah segera yang boleh dilakukan adalah sama ada mendalamkan sungai, tali air dan anak sungai supaya ia boleh menghalang air daripada melimpah.

“Semua cadangan perlu dikaji,” kata Ismail Sabri selepas melancarkan misi bantuan Keluarga Malaysia kepada mangsa banjir Parlimen Temerloh, di Lanchang, hari ini.

Turut hadir YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Ismail Sabri, beberapa cadangan itu ada antara dilaksanakan di Belanda dan di China serta terbukti dapat mengawal banjir. – HUSIN IBRAHIM