Terung ubah nasib

Terung ubah nasib

KUANTAN: Dapur Infaq Ummah (DIU) Kuantan membangunkan projek tanaman terung fertigasi diusahakan lima individu terdiri daripada komuniti lorong Wong Ah Jang sebagai usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka. 

Setiausaha DIU Kuantan, Zahir Shah Zahid, berkata projek ekonomi itu membabitkan kira-kira 2,000 polibag yang kini sedang mengeluarkan hasil selepas mencapai tempoh matang sebulan setengah.

Katanya, projek berkenaan dijangka mengeluarkan kira-kira 5,000 kilogram (kg) buah bagi setiap musim.

“Saya berpuas hati pencapaian projek tanaman terung fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang yang membuktikan kesungguhan dan berakhir dengan kejayaan membanggakan.

“Kita akan tambah sekurang-kurangnya 1,500 polibag lagi pada pusingan kedua penanaman. Hasil terung dijual dengan harga RM4 sekilogram. Sebelum ini kita mengusahakan tanaman cili sebanyak 2,000 polibag,” katanya, di sini, semalam.

Projek ekonomi peserta lorong Wong Ah Jang dirasmikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tahun lalu. – MOHD IMRAN IZZAD.