Tetap bantu rakyat walaupun rumah sendiri dilanda banjir

Tetap bantu rakyat walaupun rumah sendiri dilanda banjir

LIPIS: “Reda ajelah dengan apa yang terjadi. Lepas selesai di sini, barulah saya balik ke rumah saya di Taman Sri Inderapura Kuantan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long. 

Katanya, beliau dimaklumkan oleh beberapa jiran bahawa rumahnya itu dinaiki air hingga paras pinggang.

“Mereka hanya dapat memastikan keselamatan keluarga aje. Tak sempat langsung untuk menengok keadaan rumah saya.

“Saya berserah sajalah. Ketika ini, saya mesti bersama rakyat di DUN Padang Tengku yang saya wakili yang turut menghadapi ujian banjir ini. Saya hendak pastikan penduduk Padang Tengku dapat bantuan,” katanya. 

Mustapa berkata, hari ini, jirannya  sempat menjenguk keadaan rumahnya dan mereka menghantar beberapa keping gambar keadaan dalam rumah. 

“Teruk juga keadaannya. Berselerak. Kena reda dengan ujian ini,” katanya. –  MUHAMMAD NAJMIE