Tetap BN, kata pengundi muda Orang Asli 

Tetap BN, kata pengundi muda Orang Asli 

PEKAN: Generasi muda Orang Asli percaya hanya Barisan Nasional (BN) yang dapat membela nasib mereka dan bukan parti lain.

Sejak sekian lama masyarakat pribumi itu sentiasa setia dengan pemimpin kerajaan yang tidak pernah melupakan mereka dalam keadaan senang dan susah.

Bagi Era Elika Wong Sung Lai, 23, sudah lama dia bercita-cita ingin mengundi BN sebagai membalas jasa parti berkenaan yang banyak membantu dia sekeluarga.

“Masa yang ditunggu kini sudah tiba. Esok, pengundian PRU15 dan saya pasti akan memilih BN di kerusi Parlimen Pekan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

“Saya kenal dengan calon BN DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain yang sebelum ini sering datang ke Kampung Dusun untuk menyampaikan bantuan keperluan asas sambil bertemu penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program kempen BN di Kampung Dusun yang dihadiri Nooryana Najwa Mohd Najib iaitu anak bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi Lelianie Di, 19, sepanjang pemerintahan BN di daerah ini, pelbagai kemajuan sudah dinikmati oleh Orang Asli.

“Selain menyediakan pelbagai kemudahan asas, bidang pendidikan untuk generasi muda tidak pernah diabaikan oleh kerajaan BN yang ingin melihat Orang Asli berada setaraf dengan masyarakat lain.

“Pada PRU15 kali ini saya pasti mengundi calon BN, saya juga turut terbabit berkempen bagi memastikan generasi muda Orang Asli di Kampung Dusun memilih BN,” kata anak pertama daripada lima beradik itu. – MOHD IMRAN IZZAD