TGP, TP di Pahang mula beroperasi 11 Oktober ini

TGP, TP di Pahang mula beroperasi 11 Oktober ini

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pengoperasian secara fizikal Taska Genius Perpaduan (TGP) dan Tabika Perpaduan (TP) di Pahang yang berada di Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan bermula pada 11 Oktober ini.

Bernama menerusi portal beritanya dipetik sebagai berkata, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique menjelaskan tiga daripada 24 TGP yang akan beroperasi di seluruh negara itu membabitkan Pahang.

Katanya, secara keseluruhannya 24 TGP di negeri Fasa 3 dan Fasa 4 PPN akan mula beroperasi secara fizikal secara berperingkat mulai esok.

“Dua belas TGP itu ialah di Terengganu, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan akan beroperasi esok. 

“Tiga TGP di Pahang mulai 11 Oktober ini. Sembilan lagi TGP di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka pada 18 Oktober ini.

“Tujuh belas TGP di negeri Fasa 2 PPN iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Johor pula dibenarkan beroperasi dengan kelonggaran hanya bagi anak dengan ibu bapa yang bekerja”, katanya.

Pengoperasian secara fizikal bagi 948 Tabika Perpaduan (TP) di negeri Fasa 3 dan Fasa 4 adalah TP di Terengganu, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan, WP Labuan dan Langkawi bermula esok.

Katanya, TGP dan TP yang beroperasi secara fizikal perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya semua pendidik perlu lengkap vaksinasi, memastikan penjarakan fizikal di luar dan dalam kelas serta melaksanakan kerja disinfeksi di premis.

“Sekiranya berlaku perubahan Fasa PPN, pengoperasian TGP dan TP perlu mengikut ketetapan fasa baharu iaitu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa tersebut seperti mana ditetapkan dalam Garis Panduan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.