Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: ‘The Pahang Diplomacy’ iaitu diplomasi yang sentiasa diamalkan Kerajaan Pahang memastikan keadaan sosio-politik di negeri ini sentiasa stabil.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan sosio-politik itu menjadi asas untuk membuka ruang dan peluang untuk Kerajaan Pahang sentiasa fokus mentadbir serta memajukan negeri ini.
“Kita ada diplomasi tersendiri, dengan izin, ‘The Pahang Diplomacy’ hingga menyebabkan keadaan sosio-politik sentiasa stabil, bukan sahaja susulan kerjasama erat Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN), malah hubungan harmoni dengan sembilan Ahli Yang Berhormat pembangkang.
“Suka saya katakan, MN dan kerjasamanya dengan BN negeri, dengan izin ‘is our way forward’ (cara kami ke hadapan), tidak kira apapun yang mungkin berlaku di peringkat pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menyentuh soal vaksinasi dibangkitkan Ahli DUN (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung (PKR); Cheka, Lee Ah Wong (BN) dan Ketari, Young Syefura Othman (DAP), Wan Rosdy menegaskan, negeri ini berada atas landasan tepat menuju imuniti kelompok (herd immunity) sebelum musim tengkujuh pada November.
“Seperti semua maklum, sehingga 22 Ogos lalu, sebanyak 1,311,845 dos sudah diterima dan agihan seterusnya yang bakal diterima adalah sebanyak 150,980 dos bagi minggu keempat bulan ini, 660,000 dos (September) dan 582,087 (Oktober).
“Berdasarkan agihan ini, sekiranya benar-benar menurut dijadualkan, Pahang menerima keseluruhannya sebanyak 2,704,912 dos. Dengan sasaran menyuntik seramai 1,175,800 penduduk dewasa 18 tahun ke atas, dos diperlukan ialah sebanyak 2,351,600 dos,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Pahang sedang menggerakkan usaha mengenal pasti bilangan sebenar penduduk dewasa negeri Pahang berusia 18 tahun ke atas termasuk golongan pendatang asing dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Berdasarkan maklumat tambahan penduduk ini, Kerajaan Pahang akan membuat pertimbangan untuk permohonan bekalan vaksin tambahan sekiranya perlu,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai peluang pekerjaan bagi anak Pahang bagi mengisi kekosongan di kilang milik pelabur asing terutama di kawasan perindustrian Gebeng yang dibangkitkan ADUN Beserah, Andansura Rabu (PAS).
“PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang) selaku agensi sehenti (OSA) untuk sektor pekilangan di negeri ini sentiasa membantu secara berterusan bagi memudahcara pelabur mendapatkan pekerja bagi operasi kilang mereka.
“Hubungan baik PKNP dengan institusi kemahiran antaranya Pahang Skills, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM), Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah, Kolej Komuniti dan Pusat Giat Mara diharap membantu pemain industri bagi mendapatkan tenaga kerja mahir dan separa mahir untuk kilang-kilang mereka.
“Malah ada usaha untuk memperbanyakkan pengambilan rakyat tempatan kepada 70:30 berbanding 60:40 sekarang,” katanya.
Selain itu, katanya, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, beliau berpeluang mengetuai beberapa misi menarik pelaburan di luar negara antaranya di Eropah China dan negara jiran.
“Antara yang kita promosikan adalah mengenai kesedian memperoleh khidmat tenaga kerja mahir dan separa mahir anak-anak tempatan ini, maka inilah juga sepatutnya menjadi realiti selepas pelabur asing melabur dan mendirikan kilang mereka di negeri ini,” katanya.