KUANTAN: Seramai 50 komuniti Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini diberikan pendedahan mengenai cara menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dalam satu kursus diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Mariam Mohd Shah, berkata kursus itu dianjurkan PKD Kuantan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara serta Intergrasi Nasional (JPNIN) Kuantan.
“Kursus ini membabitkan penyertaan komuniti setempat dengan tujuan mengurangkan kepadatan vektor utama demam denggi iaitu nyamuk Aedes di lokaliti bekas hotspot denggi.
“Ia bagi meminimumkan risiko jangkitan virus denggi dengan menghapuskan tempat pembiakan Aedes dan meningkatkan kesedaran penduduk terhadap tahap kebersihan kawasan perumahan serta kawasan persekitaran,” katanya. – KAMAL ARIFIN ISMAIL