Tiada bayaran ganti sijil nikah buat mangsa banjir

Tiada bayaran ganti sijil nikah buat mangsa banjir

TEMERLOH: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menggantikan sijil nikah, cerai dan rujuk mangsa banjir secara percuma, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, dianggarkan kira kira 10,000 keluarga Islam terbabit dengan bencana banjir dan berdepan risiko kemusnahan dokumen penting termasuk sijil berkenaan.

Katanya, bagi keluarga yang ingin mendapatkan penggantian dokumen boleh berurusan di mana-mana 14 Pejabat Agama Islam Daerah untuk proses pencarian secara percuma  bermula Isnin ini sehingga 28 Februari.

Wan Rosdy berkata, inisiatif ini dijalankan selama dua bulan untuk mereka memohon penggantian di pejabat agama setiap daerah tanpa perlu membuat temu janji.

“Kebiasaannya caj bayaran dikenakan bagi carian dan salinan dokumen ialah RM20 bagi setiap satu dan sekarang kita beri secara percuma bagi meringankan beban keluarga yang terjejas banjir,” katanya ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, hari ini . 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. 

Menurutnya, penggantian secara percuma itu dianggarkan membabitkan kira-kira 8,000 unit sijil nikah, sijil cerai (1,500) dan sijil rujuk (500). 

Katanya, penggantian percuma itu diharap dapat meringankan sedikit beban keluarga yang begitu terkesan dengan bencana banjir, minggu lalu. – MUHAMMAD NAJMIE